Saturday, September 13, 2014

‘Library Tour ‘ Siswazah baharu di Perpustakaan UMP Kampus Gambang


Link e-album MINDS 2014


Seramai hampir 1 500 orang siswazah baharu telah berdaftar di Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Gambang pada 1 September 2014 yang lalu.

Pelajar-pelajar baharu yang mendaftar pada tarikh tersebut merupakan pelajar peringkat diploma dan ijazah sarjana muda. Mereka dijangkakan akan memulakan pengajian pada 8 September 2014. Sebelum bermulanya sesi pengajian, pelajar-pelajar baharu ini diwajibkan untuk mengikuti Minggu Induksi Siswa atau lebih dikenali sebagai MINDS iaitu program orientasi dan suai kenal di UMP selama seminggu. Antara aktiviti yang melibatkan perpustakaan adalah Library Tour. Pelajar akan dibawa ke Perpustakaan UMP Kampus Gambang dan diperkenalkan kepada kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Library Tour di Perpustakaan UMP Kampus Gambang telah diadakan pada 3 September 2014 bersamaan hari Rabu yang lalu dan seramai 1 000 pelajar telah mengikutinya. Aktiviti ini merupakan aktiviti yang pertama  kali diadakan di Perpustakaan UMP Kampus Gambang sempena minggu MINDS untuk pengambilan pelajar bagi sesi 2014/2015. Cara perlaksanaan aktiviti adalah dengan pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan dibawa masuk ke dalam perpustakaan secara bergilir-gilir. Enam sesi lawatan telah diadakan dimana setiap sesi terdapat satu kumpulan seramai 150 hingga 200 orang pelajar.

Lawatan ini memberi peluang kepada pelajar-pelajar baharu melihat sendiri suasana di dalam perpustakaan yang merupakan tempat mereka mencari ilmu selain di dewan kuliah. Kemudahan dan perkhidmatan yang ditunjukkan dan diterangkan kepada pelajar-pelajar baharu adalah seperti berikut:

  • ·         Lokasi kiok pinjaman layan diri
  • ·         Lokasi kiosk pemulangan layan diri
  • ·         Kaunter sirkulasi
  • ·         Bilik perbincangan
  • ·         Makmal komputer
  • ·         Meja ‘Ask A Librarian’
  • ·         Bilik seminar dan auditorium
  • ·         Bilik audiovisual
  • ·         Bilik rujukan pengguna
  • ·         Bilik 24 jam
  • ·         Penggunaan tesis/projek sarjana muda (PSM)
  • ·         Penerangan cara pencarian bahan di rak terbuka
Semasa lawatan ini, pelajar-pelajar diiringi oleh staf perpustakaan dan sesi penerangan berkaitan juga diberikan oleh mereka. Objektif penerangan ini diberikan adalah untuk memberi penjelasan yang lebih mendalam kepada perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan oleh perpustakaan.

Antara penerangan yang diberikan penekanan semasa sesi lawatan adalah seperti berikut:
  •    Menekankan tatacara dan peraturan semasa berada di dalam perpustakaan seperti cara berpakaian yang sopan dan sentiasa mempamerkan kad pintar.
  •    Menerangkan fungsi Kaunter Sirkulasi seperti pinjaman dan pemulangan bahan, tempahan bilik diskusi dan sebagainya.
  •    Cara penggunaan kiosk pinjaman layan diri.
  •    Peraturan penggunaan bahan media dan cara tempahan bilik AV, auditorium dan bilik seminar.

Pihak Perpustakaan UMP Kampus Gambang mengharapkan lawatan dan aktiviti ini dapat memberikan manfaat kepada pelajar-pelajar baharu selain memberikan pendedahan awal dan membiasakan diri dengan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan. Semoga aktiviti ini dapat diteruskan pada masa akan datang memandangkan pelbagai manfaat kepada pelajar dapat diperolehi dan boleh gunakan sepanjang pengajian mereka di UMP.

No comments:

Post a Comment