Friday, September 19, 2014

Perpustakaan UMP menganjurkan Pameran Buku Nadir tanda sokongan kepada Seminar Pengajian Pahang


Sempena Seminar Pengajian Pahang bagi memuliakan sambutan 40 tahun pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah yang telah diadakan pada 11 September yang lalu bertempat di MS Garden, program terbabit turut disertai Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang telah mengadakan Pameran Buku Nadir bagi menyokong para ilmuan dalam menyediakan bahan-bahan rujukan berkaitan pelbagai bidang di negeri Pahang Darul Makmur.



Sebanyak 40 naskah buku nadir yang terpilih dari koleksi Pantai Timur telah dipamerkan meliputi pelbagai bidang berkenaan dengan negeri Pahang, kesultanan diraja Pahang, hasil tenunan Pahang, badan organisasi sekitar Pahang dan sebagainya. Selain itu, Perpustakaan UMP turut bekerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) untuk menjayakan program ini.
Sepanjang pameran ini dijalankan, pelbagai maklumat dan bahan dapat dikongsi bersama pengunjung yang terdiri daripada pelbagai latar belakang yang mewakili jabatan masing-masing sekitar Kuantan. Ini merupakan salah satu platform terbaik untuk mempromosi Perpustakaan UMP sebagai salah satu organisasi utama yang menyimpan koleksi khas.
Pameran ini juga turut dikunjungi oleh pelbagai lapisan masyarakat. Beberapa tokoh seperti  Dato’ Hj. Shafik Fauzan Sharif dan Tan Sri Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Rahman turut sama meninjau koleksi yang telah dibangunkan dibawah label Koleksi Pantai Timur Perpustakaan UMP, beberapa pandangan dan cadangan yang positif telah turut diterima bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti pembangunan koleksi pada masa akan datang.

Diharapkan dengan adanya pameran buku nadir seperti ini, masyarakat umum mendapat manfaat untuk melihat daripada bahan-bahan yang jarang sekali dipamerkan berkaitan negeri Pahang.

No comments:

Post a Comment